Seorang maut, dua parah dalam nahas jalan raya

Anggota bomba berusaha mengeluarkan mangsa yang tersepit.
Advertisement

Oleh Dean Adam

BINTANGOR, Julai 26: Seorang lelaki maut, manakala dua cedera parah selepas Toyota Hilux yang dinaiki mereka bertembung dengan lori membawa muatan minyak, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7 malam itu, mangsa yang disahkan meninggal dunia ialah
Bruin Sidu, 41.

Advertisement

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata dua lagi mangsa yang parah, iaitu masing-masing seorang lelaki dan wanita pula berusia 32 dan 66 tahun.

Katanya, pemandu lori serta kelindan pula tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Sebelum itu, pihak bomba telah menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian berkenaan sebelum sepasukan anggota bomba diarahkan ke lokasi kejadian untuk melakukan operasi menyelamat.

“Apabila tiba, pasukan bomba mendapati tiga orang masih tersepit di dalam Toyota Hilux.

“Anggota bomba kemudian bertindak mengeluarkan mangsa yang tersepit dan pemeriksaan lanjut mendapati seorang lelaki sudah meninggal dunia, manakala dua lagi parah,” katanya di sini, hari ini.

Jurucakap sama menambah, dua mangsa yang cedera seterusnya dibawa ke Hospital Sarikei untuk tindakan seterusnya.

Katanya, mayat mangsa yang meninggal dunia turut dihantar ke hospital sama untuk tindakan lanjut.

“Operasi ditamatkan pada pukul 9.18 malam,” katanya. ā€” DayakDaily

Advertisement