Seorang maut, dua cedera selepas kereta dinaiki masuk parit

Anggota bomba berusaha mengeluarkan mangsa yang tersepit.

SIBU, Jan 17: Seorang maut, manakala dua lagi cedera selepas sebuah kereta yang dinaiki mereka hilang kawalan lalu terbabas dan terhumban masuk ke dalam sebuah parit di Jalan Paradom di sini malam tadi.

Bagaimanapun, dalam kejadian kira-kira pukul 8 malam itu, identiti mangsa masih belum lagi dikenalpasti.

Penolong Pengarah Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, Tiong Ling Hii berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung insiden itu pada pukul 8.01 malam.


Katanya, sejurus menerima laporan kemalangan itu, sepasukan lapan anggota bomba diketuai PBT Jankey Jikat telah bergegas ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, pasukan bomba mendapati sebuah kereta jenis Toyota Vios telah terhumban masuk ke dalam parit di bahu jalan berkenaan.

“Pemeriksaan lanjut kemudian mendapati kesemua mangsa masih tersepit di dalam kereta tersebut sebelum kerja-kerja mengeluarkan mangsa dilakukan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Tiong menambah, selepas berjaya mengeluarkan ketiga-tiga mangsa, pasukan perubatan yang turut berada di lokasi kejadian kemudian mengesahkan mangsa meninggal dunia akibat kecederaan yang dialaminya.

Katanya, dua lagi mangsa yang cedera kemudian dibawa ke Hospital Sibu untuk menerima rawatan lanjut.

“Operasi tamat sepenuhnya pada pukul 9.18 malam selepas mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” ujarnya lagi. — DayakDaily