Seorang maut, dua cedera dalam kemalangan di Jalan Serian-Sri Aman

Keadaan di lokasi kejadian.

KUCHING, 30 Nov: Seorang lelaki meninggal dunia dalam kemalangan membabitkan sebuah lori dengan Perodua Alza berdekatan Kampung Jirok, Jalan Serian-Sri Aman malam tadi.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata Pusat Gerakan Operasi (PGO) menerima laporan pada jam 10.24 malam.

Katanya, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Serian dikerahkan ke lokasi kejadian.


“Setiba di lokasi kejadian, didapati sebuah lori 10 tan bertembung dengan sebuah kereta jenis Perodua Alza.

“Pertembungan tersebut mengakibatkan kebakaran pada kereta Perodua Alza dan didapati seorang mangsa (pemandu) ditemui mati di lokasi kejadian.

“Mangsa yang mati juga didapati melecur 20 peratus,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pasukan Bomba kemudian segera memadamkan kebakaran tersebut menggunakan satu aliran saluran bantu mula air dari pam jentera.

“Pasukan Bomba kemudian menunggu kehadiran polis untuk serahan mangsa yang meninggal dunia,” katanya.

Mangsa berusia 18 tahun.

Dilaporkan juga pemandu dan kelindan lori yang masing-masing berusia 55 dan 49 tahun turut mengalami kecederaan ringan.

Mereka telah diberikan rawatan kecemasan di lokasi kejadian sebelum dikejarkan ke Hospital Serian untuk rawatan lanjut.

Operasi tamat sepenuhnya pada jam 2.36 pagi. — DayakDaily