Seorang maut dalam kemalangan di Sarikei

Keasaan kedua-dua buah kenderaan di lokasi kejadian.

SARIKEI, 22 April: Seorang lelaki meninggal dunia dalam kemalangan membabitkan dua buah kenderaan di Jalan Taman Jasmin, di sini hari ini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pada jam 5.47 petang.

Katanya, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sarikei dikerahkan ke lokasi kejadian.


“Setiba di lokasi kejadian, didapati benar berlaku kemalangan membabitkan Nissan Navara dengan Proton Saga.

“Terdapat seorang mangsa merupakan pemandu kereta Proton Saga disahkan meninggal dunia oleh Pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pasukan bomba kemudian bertindak mengeluarkan mangsa yang telah disahkan meninggal dunia.

Mayat mangsa seterusnya diserahkan kepada pihak polis.

Pasukan bomba kemudian berangkat balik ke balai selepas memastikan keadaan selamat. — DayakDaily