Seorang maut dalam kemalangan di Jalan Batu Kitang

Keadaan di lokasi kejadian.

BAU, 25 Sept: Seorang maut, manakala dua lagi cedera dalam kemalangan kendiri membabitkan sebuah kereta di Kampung Bumbok, Jalan Batu Kitang hari ini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada jam 1.17 pagi.

Katanya, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Lintang dikerahkan ke lokasi kejadian.


“Komander operasi melaporkan kemalangan melibatkan sebuah Totota Vios yang dinaiki tiga orang lelaki.

“Dua orang mangsa masih tersepit dan seorang lagi berjaya keluar sebelum ketibaan pihak Bomba.

“Bomba bertindak memotong pintu penumpang hadapan untuk mengeluarkan mangsa pertama
dan kaedah yang sama digunakan untuk mengeluarkan mangsa kedua dari bahagian tempat duduk pemandu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambahnya, mangsa kedua tersepit (pemandu) disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.

Dua lagi mangsa yang cedera dikejarkan ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk mendapatkan rawatan. — DayakDaily