Seorang maut, tujuh cedera dalam insiden jatuh gaung di Jalan Puncak Borneo

Keadaan kenderaan 4WD tersebut yang terbabas ke dalam gaung.

KUCHING, 26 Sept: Aktiviti riadah sebuah keluarga di sebuah pusat peranginan di Jalan Puncak Borneo berakhir tragedi apabila kenderaan pacuan empat roda (4WD) dinaiki mereka terbabas ke dalam gaung semalam.

Tambah menyedihkan apabila seorang daripada 14 mangsa disahkan meninggal dunia dan sekurang-kurangnya tujuh cedera parah.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pada jam 2.44 petang.


Katanya, Pasukan Bomba Sukarela Simpok serta anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Siburan dikerahkan ke lokasi kejadian.

“Kemalangan melibatkan sebuah 4WD yang telah terbabas masuk ke dalam gaung ketika menuruni pusat peranginan tersebut.

“Terdapat 14 mangsa dipercayai sekeluarga terlibat dalam kemalangan selepas dikatakan menjalankan aktiviti riadah di kawasan air terjun di atas gunung tersebut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya anggota bomba yang tiba di lokasi kejadian terus segera menyelamat tujuh mangsa cedera yang masih di dalam gaung sedalam 30 kaki.

“Masa mangsa pertama dinaikkan ke atas adalah pada jam 3.45 petang dan mangsa terakhir diselamatkan pada pukul 7.30 malam.

“Kaedah penyelamatan adalah mengunakan stretcher serta tali bagi mengeluarkan kesemua mangsa,” katanya.

Tambahnya, seorang wanita dewasa disahkan meniggal dunia di lokasi kejadian dan selebihnya mengalami kecederaan.

Mangsa yang meninggal dunia telah diserahkan kepada pihak polis, manakala mangsa yang cedera telah dikejarkan ke Hospital Umum Sarawak. — DayakDaily