Seorang lelaki warga emas hilang kediaman dalam kebakaran

Anggota bomba berusaha memadam kebakaran sebuah rumah di Krokop, Miri.

MIRI, Sept 27: Tindakan pantas seorang lelaki warga emas keluar menyelamatkan diri berjaya mengelak daripada terjadinya insiden tidak diingini selepas kediamannya di Krokop 7 di sini musnah terbakar awal pagi ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5.40 pagi itu, mangsa yang berusia 73 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Ketua Bomba dan Penyelamat Zon Miri, Law Poh Kiong berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kebakaran itu pada pukul 5.43 pagi.

Jelas beliau, sejurus itu, sepasukan 17 anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lopeng dan BBP Miri diarahkan ke lokasi kejadian untuk melakukan kerja-kerja memadam kebakaran.

“Apabila tiba, komander operasi melaporkan kebakaran itu melibatkan sebuah rumah satu tingkat berstruktur jenis tidak kekal yang telah musnah terbakar 100 peratus.

“Pihak bomba kemudian bertindak membuat pemadaman dan api terkawal sepenuhnya pada pukul 6.20 pagi,” katanya di sini hari ini.

Law menambah, maklumat awal mendapati rumah tersebut tidak mempunyai sambungan elektrik.

Katanya, seorang penghuni di rumah berkenaan juga dilaporkan selamat, namun dia gagal menyelamatkan barangan serta dokumen penting miliknya.

“Setakat ini, pihak bomba masih menyiasat punca kebakaran dan jumlah kerugian akibat kejadian itu,” kata Law lagi. — DayakDaily