Seorang lelaki tersepit tangan dalam mesin penggelek tepung

Tangan mangsa berjaya dikeluarkan menggunakan peralatan khas.
Advertisement

KOTA SAMARAHAN, 15 Okt: Seorang pekerja di sebuah kilang makanan di Jalan Muara Tuang, di sini cedera di tangan kiri akibat tersepit pada mesin penggelek tepung hari ini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 10.35 pagi berhubung kejadian.

Katanya, sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Samarahan bergegas ke lokasi kejadian sebaik sahaja menerima panggilan kecemasan.

Advertisement

“Tangan lelaki berusia 22 tahun terbabit berjaya dikeluarkan menggunakan peralatan khas.

“Mangsa mengalami kecederaan jari pada tangan kiri dan telah dibawa ke Hospital Umum Sarawak (HUS),” katanya dalam satu kenyataan.

Tambahnya mangsa dikejarkan ke HUS menggunakan EMRS BBP Batu Lintang bersama pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Operasi menyelamat tamat pada jam 11.50 pagi. — DayakDaily

Advertisement