KUCHING, 17 Julai: Kejadian tanah runtuh di Jalan Kuching-Bau, di sini pada tengah malam tadi telah meragut nyawa seorang lelaki warga emas.
Mangsa, Chai Kian Fah berusia 63 tahun disahkan meninggal dunia akibat kecederaan yang dialaminya selepas van yang dipandunga terjunam jatuh ke dalam runtuhan tersebut.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pada jam 12.39 tengah malam.
Katanya, anggota dari Balai Bomba Batu Lintang dikerahkan ke lokasi kejadian untuk kerja-kerja menyelamat.
“Struktur tanah yang tidak stabil dan masih berlaku runtuhan menyukarkan operasi menyelamat dan dijalankan dengan penuh berhati-hati.
“Pada jam 1.59 pagi, mangsa yang tidak sedarkan diri berjaya dikeluarkan dari dalam van dan dibawa naik untuk pemeriksaan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada polis untuk dihantar ke rumah mayat Hospital Umum Sarawak.
Operasi tamat sepenuhnya pada jam 2.28 pagi.
Lokasi kejadian iaitu di Jalan Kuching-Bau berhampiran dengan persimpangan Kampung Haji Baki buat masa ini ditutup sementara waktu.
Terdapat laluan alternatif lain dibuka, namun keadaan jalan raya menjadi semakin sesak ekoran kejadian tersebut.
Justeru orang ramai dinasihatkan untuk mengelak menggunakan laluan tersebut.
Kakitangan Jabatan Kerja Raya (JKR) bersama Kuching Waterboard juga berada di lokasi kejadian untuk kerja-kerja baik pulih jalan.
Difahamkan kerja-kerja baik pulih jalan tersebut akan mengambil masa sekurang-kurangnya dua hari. — DayakDaily