MIRI, 6 Mei: Seorang lelaki tanpa dokumen pengenalan diri ditemukan tidak sedarkan diri awal pagi tadi di Jalan Kwangtung di sini.
Menurut Ketua Polis Daerah Miri ACP Alexson Naga Chabu, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam mengenai penemuan itu pada jam 5.10 pagi.
“Susulan daripada itu, sepasukan pihak polis dari Balai Polis Pusat Miri bergegas ke tempat kejadian dan hasil pemeriksaan mendapati lelaki tersebut tidak memilik sebarang identiti pengenalan diri,” ujarnya.
Tambahnya, siasatan awal di lokasi kejadian tidak menunjukkan sebarang unsur jenayah.
Mangsa telah disahkan meninggal dunia oleh pihak ambulan dari Hospital Miri dan mayat dihantar ke bilik mayat untuk dibedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian.
Dalam pada itu, pihak polis menasihati orang awam agar tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kejadian dan sekiranya mana-mana individu yang mempunyai maklumat si mati, diminta tampil ke Balai Polis Pusat Miri untuk pengkongsian maklumat dengan menghubungi Inspektor Nixon Malang di talian 016-8865949. — DayakDaily