Seorang lelaki nyaris maut, terperosok di bawah Toyota Hilux

Keadaan sebuah Toyota Hilux selepas terlibat dalam kemalangan.

MIRI, Ogos 28: Seorang lelaki nyaris maut apabila terperosok di bawah sebuah Toyota Hilux selepas dirempuh kenderaan tersebut dalam kemalangan membabitkan tiga buah kenderaan di Jalan Pujut 7 di sini malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 12.45 tengah malam itu, mangsa dilaporkan mengalami kecederaan di bahagian kepala dan anggota badannya.

Ketua Bomba dan Penyelamat Zon Miri, Law Poh Kiong berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 12.48 tengah malam.


Jelasnya, sejurus menerima maklumat mengenai insiden itu, sepasukan lapan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lopeng telah diarahkan ke lokasi untuk melakukan kerja-kerja menyelamat.

“Apabila sampai di lokasi kemalangan, pasukan bomba mendapati insiden berkenaan melibatkan dua buah Toyota Hilux dan sebuah Perodua Kembara.

“Pemeriksaan mendapati terdapat seorang lelaki yang terperosok di bawah sebuah Toyota Hilux tersebut,” katanya di sini hari ini.

Law menambah, mangsa yang dalam keadaan separuh sedar kemudian berjaya dikeluarkan oleh pihak bomba.

Katanya, ketiga-tiga pemandu kenderaan tersebut dilaporkan hanya mengalami kecederaan ringan.

“Mangsa yang cedera kemudian dibawa ke Hospital Miri untuk menerima rawatan lanjut.

“Operasi tersebut tamat sepenuhnya pada pukul 1.45 pagi,” ujarnya lagi. — DayakDaily