Seorang lelaki maut, seorang lagi parah dalam nahas dua kenderaan

Anggota bomba memadam kebakaran melibatkan sebuah kereta.
Advertisement

SERIAN, Sept 24: Seorang lelaki maut manakala seorang lagi parah selepas kereta Proton Iswara dinaiki mereka bertembung dengan sebuah Toyota Hilux di Jalan Kampung Semukoi di sini malam ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8.05 malam itu, identiti mangsa masih belum diketahui lagi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak berkata, pihak bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kemalangan tersebut pada pukul 8.08 malam.

Advertisement

Katanya, sepasukan enam anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Serian telah diarahkan ke lokasi untuk melakukan kerja-kerja menyelamat.

“Apabila tiba di lokasi, pasukan bomba mendapati kemalangan tersebut melibatkan sebuah kereta Proton Iswara dan Toyota Hilux.

“Kesan pertembungan itu telah menyebabkan Proton Isawara terbakar dan mengakibatkan seorang lelaki maut, seorang lagi parah dan cedera,” katanya ketika dihubungi malam ini.

Keadaan kereta Proton Iswara selepas terlibat dalam kemalangan dengan Toyota Hilux.

Jurucakap sama menambah, pemandu serta penumpang Toyota Hilux pula hanya mengalami kecederaan ringan.

Katanya, mangsa yang cedera telah dihantar ke Hospital Serian untuk mendapatkan rawatan lanjut.

“Pihak bomba telah bertindak memadamkan kebakaran dan membuat ‘flushing’ di tempat kejadian.

“Operasi tersebut tamat sepenuhnya pada pukul 9 malam,” katanya. — DayakDaily

Advertisement