Seorang lelaki maut, seorang lagi melecur dalam kebakaran rumah pekerja

Keadaan kesan kebakaran melibatkan sebuah rumah pekerja.
Advertisement

Oleh Dean Adam

BETONG, Dis 1: Seorang lelaki warga Indonesia ditemui maut dalam insiden kebakaran melibatkan sebuah rumah pekerja di Ladang Tanjong Lilin, hari ini.

Lelaki warga Indonesia yang disahkan meninggal dunia dikenali sebagai Ardi Darmawan, 23.

Advertisement

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (BBP) Sarawak, Tiong Ling Hii, berkata insiden sama turut mengakibatkan seorang lagi lelaki iaitu rakan senegara mangsa melecur.

Katanya, sebelum itu, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian berkenaan pada pukul 6.36 pagi.

“Sepasukan lapan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Betong kemudian bergegas ke tempat kejadian untuk melakukan operasi memadam kebakaran.

“Apabila tiba, pasukan bomba mendapati api masih marak membakar rumah pekerja terbabit sebelum operasi memadam dilakukan,” katanya di sini hari ini.

Anggota bomba mengangkat mayat mangsa.
Anggota bomba memeriksa kawasan kebakaran.

Tiong menambah, kebakaran itu melibatkan satu blok rumah pekerja struktur kayu jenis tidak kekal yang mempunyai 10 pintu.

Katanya, mayat mangsa sudah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya, manakala mangsa yang cedera dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut.

“Buat masa ini, pihak bomba masih menyiasat punca kebakaran berkenaan,” ujarnya. — DayakDaily

Advertisement