SERIAN, 28 Feb: Seorang lelaki disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah selepas terlibat kemalangan di Batu 21 Jalan Kuching-Serian, hari ini.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Sarawak Supt Alexson Naga Chabu berkata mangsa yang berusia 21 tahun semasa kejadian menunggang motosikal dari arah Serian menuju ke Kuching sekitar jam 7 pagi.
Katanya, setiba di lokasi kejadian, mangsa dipercayai gagal mengawal motosikalnya lalu melanggar penghadang jalan.
“Akibat kemalangan tersebut, mangsa tercampak ke tengah jalan dan mengalami kecederaan parah.
“Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kemalangan selepas diperiksa pegawai perubatan dari Hospital Daerah Serian,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Tambahnya, mayat mangsa yang berasal dari Kampung Daha Seroban, Tebakang itu kemudian dihantar ke rumah mayat Hospital Serian untuk tindakan selanjutnya.
Siasatan lanjut kes masih dijalankan di bawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987. ― DayakDaily