KUCHING, 5 Nov: Batalion 11 Pasukan Gerakan Am (PGA) telah berjaya menggagalkan cubaan menyeludup sebanyak 1,250 karton rokok kretek pelbagai jenis di Kampung Beratok, Padawan, semalam.
Rampasan rokok tersebut, yang disembunyikan di dalam sebuah rumah dan van yang diletak berhampiran, adalah ekoran risikan dua minggu dalam “Op Libas”, kata pegawai pemerintah Supt Rosdi Inai.
“Operasi dijalankan oleh seramai lima pegawai dan anggota dari Unit Risik Batalion 11 PGA yang diketuai ASP Mohd Mazlan Mohd Ariff pada jam 1.50 petang atas risikan dan maklumat yang diperolehi,” katanya pada sidang media di ibupejabat Batalion 11 PGA, di Batu Kawah, di sini, semalam.
Rosdi berkata hasil pemeriksaan mendapati seorang lelaki berusia 31 tahun, yang mengaku sebagai pemilik premis tersebut dan telah gagal mengemukakan sebarang dokumen berhubung penemuan barangan berkenaan, turut ditahan untuk siasatan lanjut.
“Hasil maklumat yang diperolehi, barangan terbabit dipercayai diseludup dari negara jiran dan akan dipasarkan di pasaran tempatan,” katanya.
Katanya, tangkapan serta rampasan itu telah diserahkan kepada ibupejabat polis daerah (IPD) Padawan untuk disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (d), Akta Kastam 1967, yang boleh membawa hukuman denda 20 kali nilai barang atau dipenjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Beliau berkata rampasan rokok seludup batalion terbabit sentiasa dalam jumlah yang agak besar sebelum ini, kerana pihaknya yakin ini disebabkan permintaan tinggi dari pasaran tempatan.
Rosdi sehubungan itu menasihatkan masyarakat setempat supaya sentiasa memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa khususnya polis dalam menangani penyeludupan itu dan apa jua jenayah lain. — DayakDaily