– oleh Dean Adam
SARATOK, Okt 9: Seorang lelaki dilaporkan hilang selepas dipercayai keluar menjalankan aktiviti mengesan paranormal atau memburu hantu di sekitar kawasan hutan berhampiran Sungai Engkabang di sini awal pagi Ahad.
Mangsa, Junaidy Lunsa Dugat, 49, dilaporkan hilang selepas keluar rumah pada pukul 4.30 pagi.
Bagaimanapun, sehingga pukul 1.55 petang semalam, mangsa masih tidak dikesan dan tidak pulang ke rumahnya.
Jurucakap bomba dan penyelamat berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada pukul 1.58 petang.
Jelasnya, sejurus menerima laporan mengenai insiden tersebut, sepasukan anggota bomba diarahkan ke lokasi untuk melakukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa.
“Operasi awal menemui mangsa ada meninggalkan jejak terakhir di tepi sungai, namun belum dipastikan sama ada mangsa lemas atau hilang di hutan.
“Pencarian penduduk kampung yang bermula semalam (Ahad) di kawasan hutan belum menemui sebarang petunjuk positif,” katanya di sini semalam.
Jurucakap sama, pihak bomba sudah membuka pos kawalan bomba (PKB) di sekitar lokasi kejadian.
Katanya, setakat pukul 7 malam tadi, mangsa masih belum ditemui dan operasi SAR akan disambung hari ini.
“Operasi di sepanjang laluan sungai dengan radius 1 kilometer akan disambung semula esok (Selasa) seawal pukul 7 pagi,” katanya. — DayakDaily