Seorang lelaki dilaporkan hilang ketika meracun rumput di Betong

Operasi SAR yang bermula hari ini (28 Okt 2021).

BETONG, 28 Okt: Seorang lelaki dilaporkan hilang selepas keluar meracun rumput di sebuah kebun sawit di Kampung Hulu Manggut, Spaoh dekat sini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata mangsa pergi ke kebun tersebut sejak semalam dan tidak pulang sehingga hari ini.

Ekoran itu, laporan kehilangan mangsa berusia 49 tahun itu kemudian dibuat oleh keluarga mangsa.


“Pemilik kebun bersama penduduk kampung telah berusaha mencari sebelum laporan kehilangan dibuat.

“Beberapa anggota dari Balai Bomba Betong serta Balai Polis Spaoh kemudian terus ke lokasi kejadian untuk operasi mencari dan menyelamat (SAR),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Bagaimanapun, sehingga jam 6.29 petang tadi, mangsa masih gagal dijumpai dan operasi ditangguh dan akan disambung esok. — DayakDaily