Seorang kelindan maut, dua parah akibat lori jatuh gaung

Anggota bomba mengangkat mayat mangsa.

Oleh Dean Adam

SRI AMAN, Dis 29: Seorang kelindan lori maut, manakala dua lagi parah selepas sebuah lori kargo yang dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan di Jalan Bukit Begunan di sini tengah malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 12.45 tengah malam itu, mangsa, Mohammad Firdaus Jamuri, 27, disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah yang dialaminya.


Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Supt, Alexson Naga Chabu berkata, dua lagi mangsa yang cedera parah ialah pemandu dan seorang lagi kelindan yang masing-masing berusia 33 dan 25 tahun.

Menurutnya, siasatan awal mendapati semasa tiba di lokasi kejadian, lori kargo tersebut dipercayai tiba-tiba hilang kawalan lalu terbabas dan terhumban masuk ke dalam gaung.

Kelihatan lokasi kemalangan membabitkan sebuah lori.

“Impak kemalangan itu mengakibatkan bahagian depan lori tersebut remuk teruk dan terputus dua.

“Pemandu dan dua kelindan lori berkenaan cedera parah, sebelum seorang disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya di sini hari ini.

Alexson menambah, dua mangsa yang cedera parah kemudian dikejarkan ke Hospital Sri Aman untuk mendapatkan rawatan lanjut.

“Mayat mangsa juga dibawa ke hospital sama untuk dibedah siasat.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. -DayakDaily