Seorang isteri maut, suami dan anak selamat dalam nahas jalan raya

Keadaan kereta mangsa di tempat kemalangan di Jalan Bintulu-Tubau hari ini.
Advertisement

BINTULU, Jan 23: Seorang wanita maut, manakala suami dan anaknya terselamat selepas kereta dinaiki mereka bertembung dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda di KM108, Jalan Bintulu-Tubau di sini hari ini.

Kejadian kira-kira pukul 9.30 pagi itu telah mengakibatkan mangsa, Jalemie Albanganda, 28, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada anggota badannya.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Supt Alexson Naga Chabu berkata, sebelum kejadian itu, sebuah kereta Proton Saga BLM yang dipandu Marcus Taba, 38, bersama anak mereka, Sebastian Emmanuel Marcus, 3, serta mangsa dikatakan dalam perjalanan ke bandar Bintulu dari arah Tubau.

Advertisement

Katanya, malang menimpa mangsa apabila kenderaan pacuan empat roda jenis Nissan Navara tiba-tiba hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan kereta dinaiki tiga beranak terbabit.

“Kesan perlanggaran kuat itu mengakibatkan Proton Saga tersebut remuk teruk pada bahagian depannya.

“Mangsa yang duduk di tempat penumpang depan dilaporkan maut akibat kecederaan parah yang dialaminya,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Alexson menambah, pemandu Nissan Navara serta seorang lagi penumpang dilaporkan mengalami kecederaan ringan.

Jelasnya, mayat mangsa sudah dibawa ke Hospital Bintulu untuk dibedah siasat.

“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya. — DayakDaily

Advertisement