Senator Abun cadang tubuh Sekretariat Tetap Kongres Bumiputera

Senator Abun Sui Anyit

Oleh DayakDaily Team

KUCHING, 3 Mac: Timbalan Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak Senator Abun Sui Anyit mencadang agar Sekretariat Tetap Kongres Bumiputera ditubuhkan.

Beliau berpendapat ada keperluan sekretariat tersebut ditubuh setelah mengikuti Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) di Kuala Lumpur yang berakhir semalam.


“Walaupun tidak dijadikan resolusi bertulis dan dipersetujui oleh Sekretariat KEB2024, kita berharap sekretariat tetap ini akan ditubuhkan.

“Ia seharusnya dianggotai oleh anggota dari semua wilayah Malaysia iaitu Semenanjung, Sabah dan Sarawak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelas Abun, Sekretariat Tetap ini adalah untuk memberi fokus kepada pembangunan menyeluruh termasuk di Sabah dan Sarawak serta kawasan orang Asli.

Maka katanya, keanggotaan Sekretariat tetap ini termasuk dari semua kaum dan juga dari kalangan Bumiputera bukan Islam.

Menurut beliau, golongan ini benar- benar faham permasalahan kawasan – kawasan yang diwakili terutamanya dari pedalaman Sabah dan Sarawak. — DayakDaily