Seminar Perjanjian Damai Kapit 100 Tahun bukan ungkit luka lama — Wilson Ugak Kumbong

Wilson Ugak Kumbong
Advertisement

KUCHING,8 Dis: Seminar Perjanjian Damai Kapit 100 Tahun bukan mengungkit luka lama namun untuk meraikan keamanan, kata Datuk Wilson Ugak Kumbong.

Menurut laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), Wilson berkata, ia bagi menghormati keamanan sebagai simbol kekuatan komuniti.

Katanya, ia juga bagi menghormati hubungan yang dibina dan komitmen masyarakat yang menandatangi perjanjian untuk masa depan yang lebih baik bersama.

Advertisement

“Apa salahnya untuk meraikan keamanan? Ia mewakili penyembuhan, perdamaian, dan kemajuan bagi semua orang.

“Tanpa keamanan, dunia kita akan berpecah dan penuh kesulitan. Dengan meraikan keamanan, kita membina asas yang lebih kukuh untuk pemahaman dan perpaduan,” katanya demikian ketika berucap Majlis Makan Malam Sempena Penutupan Seminar tersebut di sebuah hotel di sini pada Sabtu.

Ahli Parlimen Hulu Rajang itu menambah, sambutan perjanjian ini melalui pertukaran hadiah, upacara dan hubungan yang mengutamakan hormat-menghormati turut membantu menamatkan konflik antara masyarakat Iban dan Orang Ulu (Kayan, Kenyah, dan Kajang) yang ditandatangani pada 16 November 1924.

Jelasnya, ia membuka jalan kepada keamanan dan hubungan baik yang berterusan di kalangan masyarakat Iban, Kayan, Kenyah, dan komuniti setempat yang lain.

“Kesan perjanjian ini masih dapat dilihat hingga ke hari ini melalui perpaduan dan perkahwinan campur yang membentuk budaya Sarawak yang kita cintai,” ujarnya. —DayakDaily

Advertisement