Sembunyi senapang dalam guni, dua lelaki ditahan

Anggota tentera menahan kedua-dua lelaki yang memiliki senapang buatan sendiri.

LUNDU, April 15: Dua lelaki warga tempatan yang memiliki dua laras senapang buatan sendiri ditahan sepasukan anggota tentera dari Batalion Ketiga Belas Rejimen Askar Melayu Diraja (13RAMD) di simpang Kampung Kandaie di sini malam tadi.

Kedua-dua lelaki itu diberkas kira-kira pukul 12.20 tengah malam.

Jurucakap dari pasukan 13RAMD berkata sebelum tangkapan itu, sepasukan anggota tentera yang melakukan operasi mengawal sempadan telah mengesan pergerakan dua lelaki dalam keadaan mencurigakan.


Katanya, anggota tentera yang diketuai Lt Kol Ismahizan Ishak kemudian menahan kedua-dua lelaki terbabit.

“Pemeriksaan lanjut menemui dua laras senapang buatan sendiri berserta peluru yang disembunyikan di dalam guni,” katanya dalam kenyataan akhbar hari ini.

Jurucakap sama menambah, anggota tentera kemudian membawa kedua-dua lelaki terbabit ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) untuk tindakan lanjut. — DayakDaily