Sembilan sekeluarga hilang tempat tinggal akibat kebakaran

Anggota bomba berusaha memadam kebakaran.
Advertisement

KUCHING, Ogos 22: Keseronokan sebuah keluarga menyambut Hari Raya Aidiladha bertukar sedih apabila kediaman mereka di Kampung No.5, Jalan Datuk Ajibah Abol musnah terbakar, hari ini.

Kebakaran kira-kira pukul 2.04 petang itu telah mengakibatkan sebuah rumah kayu setingkat yang didiami sembilan sekeluarga musnah terbakar 100 peratus.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, Tiong Ling Hii berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian tersebut pada pukul 2.05 petang.

Advertisement

Menurutnya, sepasukan lapan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Padungan telah diarahkan ke lokasi kejadian untuk melakukan kerja-kerja memadam kebakaran.

“Kita juga menghantar 15 anggota bomba dari BBP Batu Lintang dan BBP Petra Jaya sebagai pasukan bantuan bagi memastikan kebakaran tidak merebak.

“Sebaik tiba, komander operasi mendapati sebuah rumah berstruktur tidak kekal telah ranap dijilat api dan pasukan bomba kemdian bertindak mengawal api daripada merebak,” katanya hari ini.

Abang Johari berada di lokasi bagi meninjau keadaan mangsa kebakaran.

Tiong menambah, siasatan awal mendapati semua penghuni rumah berkenaan terselamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Katanya, Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg turut berada di lokasi bagi meninjau keadaan mangsa kebakaran itu.

“Setakat ini, punca kebakaran dan jumlah kerugian masih disiasat,” ujarnya. — DayakDaily

Advertisement