Sembilan lelaki leka ‘layan’ dadah dicekup

Gambar komposit menunjukkan keadaan semasa serbuan dijalankan oleh anggota polis.

Oleh Dean Adam

BETONG, Jun 28: Sekumpulan sembilan lelaki yang sedang leka terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah diberkas menerusi satu serbuan di sebuah rumah di Debak dekat sini.

Kesemua suspek berusia antara 17 hingga 42 tahun itu diberkas antara pukul 8.30 pagi hingga 12.30 tengah hari.


Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Sarawak, Supt Sahar Abd Latif berkata, kejayaan operasi itu merupakan hasil maklumat dan risikan yang dijalankan sebelum ini.

Katanya, ujian air kencing yang dilakukan mendapati lapan daripada suspek positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine, manakala seorang lagi negatif dadah.

“Semua suspek kemudian dibawa ke pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Betong bagi membantu siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Sahar menambah, daripada sembilan suspek yang ditahan, lapan merupakan lelaki tempatan, manakala lagi seorang lelaki warga Indonesia.

“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. — DayakDaily