Selesaikan segera masalah longgokan tanah di Jalan Anding ke Empangan Murum – PKR Hulu Rajang

Abun Sui di kawasan tanah runtuh yang menimbusi jalan raya dari Anding ke Empangan Murum.

KUCHING, 7 Dis: Parti Keadilan Rakyat (PKR) Hulu Rajang menggesa kerajaan menyelesaikan segera longgokan tanah di satu kawasan di Jalan Anding ke Empangan Murum.

Ketuanya Abun Sui Anyit berkata, longgokan tanah kesan tanah runtuh itu telah menyukarkan pergerakan penduduk disekitarnya.

“Tanah runtuh yang berlaku telah menimbusi jalan raya dari Anding ke Empangan Murum seterusnya ke Sekolah Rendah Kebangsaan Tegulang dan kampung sekitarnya seperti di Tegulang dan Metalun.


“Laluan lencongan yang dibuat melalui jalan ladang sawit sangat licin dan tidak dapat dilalui oleh kenderaan kecil termasuk kenderaan pacuan 4 roda,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Abun, longgokan tanah tersebut adalah berukuran lebih kurang 200 meter.

Beliau juga memohon syarikat perladangan dan pembalakan berhampiran bekerjasama untuk menyelesaikan masalah tersebut. — DayakDaily