KUCHING, 25 Julai: Parti Keadilan Rakyat (PKR) menggesa kerajaan memberi penjelasan mengapa Hari Kemerdekaan Sarawak ditukar kepada Hari Sarawak.
Ketua Penerangan dan Komunikasi PKR Sarawak Abun Sui Anyit berkata, berdasarkan Warta bertarikh 20 Mei 2016, tarikh 22 Julai diwartakan sebagai cuti am ‘Sarawak Independence Day’ atau Hari Kemerdekaan Sarawak.
“Walaupun setelah tujuh tahun Hari Kemerdekaan Sarawak dirayakan, terdapat dua versi ucapan yang digunakan.
“Iaitu, Selamat Hari Kemerdekaan Sarawak 22 Julai dan Selamat Hari Sarawak 22 Julai.
“Pemimpin-pemimpin kerajaan kelihatan tidak menggunakan ayat yang terkandung di dalam Warta bertarikh 20 Mei 2016 tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah Abun, antara pemimpin kerajaan yang menggunakan ‘Selamat Hari Sarawak’ adalah Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan wakil rakyat Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang lain.
Katanya lagi, pemimpin pembangkang yang didapati mengeluarkan ucapan ‘Selamat Hari Sarawak’ pula adalah MP Selangau yang juga Adun Ba’Kelalan Baru Bian.
“Kita tidak boleh membiarkan kekeliruan ini berterusan setiap tahun.
“Kerajaan Sarawak seharusnya memberi penerangan dan penjelasan,” ujar beliau. — DayakDaily