This Content Is Only For Subscribers
KUCHING, 14 JUN: Kerajaan Selangor berminat belajar kaedah pembangunan bandar pintar di Sarawak.
Pada Isnin (12 Jun) lepas, satu rombongan daripada Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor telah mengadakan lawatan penanda aras ke Pejabat Sarawak Multimedia Authority (SMA).
Rombongan terbabit diketuai oleh Pengarah Urusan Smart Selangor Delivery Unit (SSDU) Innovations Sdn Bhd, Akmal Hamzah.
Dalam ucapannya, Akmal berkata, inisiatif Smart Selangor dirangka sehingga tahun 2025 yang memfokus kepada teknologi pintar dan kemajuan infrastruktur.
“Justeru, banyak perkara yang perlu kita lakukan dan kita ingin belajar daripada Sarawak terutamanya dalam pembangunan bandar pintar.
“Maka, lawatan kita adalah untuk menimba pengalaman berhubung dengan pengurusan dan pelaksanaan bandar pintar di Sarawak,” katanya.
Selain itu, beliau berkata, pihaknya berhasrat menjalin hubungan kerjasama dua hala dengan Sarawak dalam menjayakan visi ke arah Smart Selangor dari segi tadbir urus.
Sementara itu, Pemangku Pengurus Besar SMA, Mohamad Irtidzar Razali berkata, SMA sentiasa mengalu-alukan kedatangan pihak luar yang ingin mengetahui mengenai pelaksanaan dan pembangunan bandar pintar di Sarawak.
“Melalui sesi perjumpaan seperti ini, kita dapat berkongsi idea, pengalaman dan amalan terbaik dengan agensi lain.
“Malah, kita dalam proses mentransformasikan bandar raya Kuching dan bandar raya Miri sebagai bandar raya pintar,” ujarnya. — DayakDaily