Selangau perlu sebuah hospital, kata Gira

Adun Tamin Christopher Gira

SELANGAU, 26 Mac: Sebuah hospital perlu dibina di Selangau bagi memberikan perkhidmatan kesihatan kepada lebih 30,000 penduduk di daerah tersebut.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tamin Christopher Gira berkata dengan jumlah populasi seramai itu, pembinaan sebuah hospital amat wajar bagi kemudahan penduduk setempat.

Katanya, masyarakat di daerah itu perlu ke hospital Sibu, Bintulu ataupun Mukah untuk mendapatkan rawatan susulan.


Malah terdapat kalangan pesakit terpaksa berulang alik dengan jarak yang jauh untuk mendapatkan rawatan susulan.

“Kemudahan di klinik-klinik kesihatan di daerah ini juga perlu dinaiktaraf termasuk Klinik Kesihatan Sungai Arip, Klinik Kesihatan Tepus, Klinik Kesihatan Sekuau, Klinik Kesihatan Nanga Tamin serta Klinik Kesihatan Pasai Siong Hilir di Daerah Sibu.

“Manakala sebuah Pusat Hemodialisis juga amat diperlukan di sini memandangkan pada masa ini seramai 30 orang pesakit buah pinggang terpaksa menjalani dialisis di Hospital Sibu ataupun ke Hospital Mukah.

“Kita juga telah dimaklumkan pembinaan pusat hemodialis tersebut dalam proses tender” katanya ketika berucap pada Program Malaysia Prihatin yang diadakan di Dewan Masyarakat Selangau baru baru ini.

Gira berkata, sebuah mesin X-ray juga amat diperlukan di Klinik Kesihatan Selangau bagi melakukan imbasan berkaitan.

Pada masa sama beliau turut memohon pembinaan satu blok kuaters dengan 31 unit kediaman bagi kemudahan staff Klinik Kesihatan Selangau.

“Pada masa ini ada di kalangan staff klinik ini yang terpaksa berulang alik dari Sibu ke Selangau untuk bertugas,” katanya. — DayakDaily