Selain B40, SKSSR juga harus diberi kepada M40 — Fatimah

Dato Sri Fatimah Abdullah

KUCHING, 26 Julai: Selain dikhususkan kepada golongan B40, Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) juga seharusnya diberi kepada golongan M40, kata Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak Dan Kesejahteraan Komuniti Dato Sri Fatimah Abdullah.

Menurut beliau, suri rumah yang mencarum bakal mendapat manfaat kesihatan dan ketidakupayaan.

“Walaupun selepas bercerai atau kematian suami, mereka masih mendapat manfaat daripada skim ini sehingga ke penghujung tempoh bayaran.


“Ini akan memberi jaringan keselamatan kepada suri rumah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Fatimah mengulas berhubung Rang Undang-Undang (RUU) Keselamatan Sosial Suri Rumah 2022 diluluskan di Dewan Rakyat semalam.

RUU yang diluluskan secara sebulat suara, antara lain membolehkan SKSSR dilaksanakan bagi menjaga kebajikan suri rumah akibat berlaku sebarang kejadian ketika menguruskan rumah tangga.

Ia termasuk melindungi mereka daripada apa-apa penyakit yang menjejaskan kerja sebagai seorang suri rumah.

Justeru, Fatimah menggesa semua suri rumah untuk mencarum dalam SKSSR selain i-Suri. — DayakDaily