Sektor perniagaan, industri, swasta dan awam digalak sertai CMEA Ke-10

Dr Hazland (tiga dari kanan) menerima cenderamata daripada Peggy pada Majlis Pelancaran Anugerah Alam Sekitar Ketua Menteri Ke-10 (CMEA).
Advertisement

KUCHING, 23 Feb: Sektor perniagaan, sektor perindustrian, sektor swasta dan sektor awam di Sarawak digalakkan untuk menyertai Anugerah Alam Sekitar Ketua Menteri Ke-10 (CMEA).

Menteri Muda Tenaga Dan Kelestarian Alam Sekitar Dr Hazland Abang Hipni berharap edisi kali ini dapat menarik penyertaan melebihi CMEA Ke-9 iaitu 106 penyertaan.

“Anugerah alam sekitar ini disokong penuh oleh Kerajaan Negeri bagi memberi pengiktirafan kepada syarikat, industri, sektor awam termasuk individu yang mempunyai pengurusan alam sekitar yang baik di samping mengekalkan inisiatif hijau yang mampan,” katanya.

Advertisement

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran CMEA Ke-10 dengan tema “Redefining Sustainability in Environmental Stewardship” di sebuah hotel di sini, hari ini.

Tambah Dr. Hazland, para usahawan, sektor korporat termasuk individu sebaiknya mengambil kesempatan ini untuk melihat semula dan meneruskan komitmen di dalam usaha penjagaan alam sekitar.

Katanya, ia bukan sahaja akan membawa keuntungan dari aspek ekonomi tetapi membantu menjadikan Sarawak sebagai sebuah wilayah yang bersih, hijau dan selamat.

CMEA Ke-10 mempertandingkan beberapa kategori antaranya Anugerah Ketua Menteri yang khusus untuk perniagaan besar, perniagaan sederhana, perniagaan kecil, pihak berkuasa tempatan, Individu dan perusahaan kedai makan.

Ia dianjurkan oleh Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) dan Persekutuan Perniagaan Sarawak (SBF).

Turut hadir Kontroller Kualiti Alam Sekitar Peggy Ronin Edin. — DayakDaily

Advertisement