Sektor perdagangan pengedaran makin pulih, rekod jualan RM120.5 bilion pada Dis 2021

Pegawai-pegawai KPDNHEP melakukan pemeriksaan dan pemantauan pematuhan SOP PKP di sebuah pasaraya di Kuching.

KUCHING, 11 Feb: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menyambut baik laporan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) berkaitan sektor perdagangan pengedaran merekodkan nilai jualan bulanan tertinggi berjumlah RM120.5 bilion pada Disember 2021.

Dalam satu kenyataan pada 9 Feb lalu, DOSM turut melaporkan jualan tahunan merekodkan pertumbuhan empat peratus kepada RM1.3 trillion berbanding tahun sebelumnya dengan sub sektor peruncitan telah mencatat pertumbuhan 3.5 peratus kepada RM48.5 billion.

Menteri KPDNHEP Dato Sri Alexander Nanta Linggi memberitahu pertumbuhan sub sektor peruncitan bagi suku keempat tahun 2021 yang mencatatkan peningkatan 5 peratus kepada RM142.6 bilion juga turut memberi petunjuk bahawa sektor peruncitan telah kembali positif yang disokong oleh pembukaan sektor ekonomi secara berperingkat.


“Pertumbuhan ini membuktikan bahawa pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara (PPN) secara terancang dan sistematik telah menunjukkan kesan yang positif khususnya kepada sektor peruncitan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau turut berkata inisiatif-inisiatif yang dilaksanakan oleh KPDNHEP seperti Program Vaksinasi Sektor Peruncitan (RiVAC) kepada barisan hadapan ekonomi, Program Digitalisasi Sektor Peruncitan (ReDI), Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM), Program Citarasa Malaysia, dan Program Jualan Malaysia (PJM) 2022 yang memberi penekanan kepada tiga teras utama (3R) iaitu Recovery (Pemulihan), Revitalise (merancak) dan Revive (menghidup semula) turut menyumbang kepada pertumbuhan sektor peruncitan secara keseluruhannya.

“Selain itu, elemen penguatkuasaan terus dipertingkatkan untuk menyokong pemulihan sektor perdagangan pengedaran terutama dalam memastikan pematuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) dan kecukupan bekalan barangan keperluan sepanjang masa,” ujarnya.

Untuk sebarang pertanyaan lanjut, pihak pemain industri dan orang ramai boleh menghubungi Sekretariat Perdagangan Pengedaran dan Industri Perkhidmatan (SPIP) di talian hotline 03-8882 5881/ 5905 atau melalui emel kepada spip@kpdnhep.gov.my. — DayakDaily