Sekian lama wujud, Kolam Air Panas Paku kekal popular

Satu-satunya di kawasan Bau, Kolam Air Panas Paku berpotensi sebagai destinasi pelancong.
Advertisement

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 19 Mei: Walaupun telah sekian lama wujud, Kolam Air Panas Paku kekal sebagai kawasan tarikan utama di Bau.

Malah berpandukan cerita rakyat dan nilai perubatan Cina, kolam mata air panas ini boleh menjadi produk destinasi pelancong yang popular.

Advertisement

Dengan projek penambahbaikan yang siap pada penghujung 2023 lepas, Kolam Air Panas Paku memberi kemudahan riadah yang lebih menyeronokkan kepada pengunjung.

“Kolam Air Panas Paku ini satu-satunya yang ada di kawasan Bau. Memang setiap hari ada pengunjung datang untuk mandi, berendam di sini.

“Mereka datang dari Kuching dan dari bahagian lain termasuk pelancong asing selain penduduk Bau sendiri.

“Secara purata lebih 50 pengunjung datang dalam sehari,” kata penjaga Kolam Air Panas Paku Rabun Sirok ketika ditemui DayakDaily hari ini.

Tambah Rabun, 60, rata-rata pengunjung percaya dengan berendam dalam kolam air panas boleh memperbaiki kulit badan yang dijangkiti selain mampu mengubat sakit-sakit sendi.

Katanya yang berasal dari Kampung Sibulung, tempoh berendam paling sesuai ialah 45 minit hingga 1 jam.

“Pada waktu hujan pun ada yang datang kerana ia sangat sesuai untuk berendam.

“Dengan keadaan persekitaran yang sejuk akibat hujan, berendam dalam kolam ini sentiasa memanaskan badan mereka,” ujar Rabun.

Sementara itu petugas kaunter Nina Aren memberitahu Kolam Air Panas Paku sangat popular di kalangan pengunjung dari Indonesia dan China.

Selain itu ujarnya, terdapat juga pelancong dari Eropah, Amerika, Australia dan Korea.

“Kadang-Kadang kita menghadapi masalah komunikasi, terutama dengan pelancong China dan juga Eropah.

“Bahasa English mereka sukar di dengar, difahami. Tetapi inilah cabaran,” kata Nina.

Petugas Kolam Air Panas Paku, Rabun (kiri) dan Nina (kanan).

Antara kerja-kerja penambahbaikan yang telah dilakukan termasuk pembinaan sebuah bilik persalinan, tandas.

Ia termasuk kawasan renang terlindung untuk orang dewasa dan kanak-kanak serta tempat untuk barbeku keluarga.

Kam Air Panas Paku dibuka dari 9 pagi hingga 5 petang pada hari Isnin hingga Jumaat, dan hingga 8 malam pada hari Sabtu dan Ahad.

Yuran kemasukan ialah RM5 bagi seorang dewasa dan RM3 bagi kanak-kanak di bawah umur 12 tahun.

Manakala bagi pelancong luar, yuran kemasukan ialah RM10 bagi dewasa dan RM5 bagi kanak-kanak bawah umur 12 tahun. — DayakDaily

Advertisement