Sekatan jalan raya di Miri dibuka kepada dua lorong untuk mempercepatkan pemeriksaan

Lee (dua dari kiri) melawat lokasi SJR pada pagi Rabu (2 Jun 2021).

Oleh Brad Rantayy

MIRI, 3 Jun: Susulan barisan kenderaan yang panjang dilaporkan berlaku di semua Sekatan Jalan Raya (SJR) di sini pada pagi Rabu (3 Jun), pihak polis telah diarahkan untuk membuka SJR kepada dua lorong bagi mengurangkan barisan yang terlalu panjang dan mempercepatkan proses pemeriksaan.

Menjelaskan perkara tersebut, menteri bertangungjawab Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Miri (JPBB), Datuk Lee Kim Shin berkata, arahan tersebut telau dibuat serta merta bagi mengurangkan kesesakan.


“Pada pagi tadi, saya sendiri telah turun ke tiga lokasi SJR untuk melihat sendiri keadaan pemeriksaan lalu lintas,” katanya.

Lee memberitahu bahawa pihak polis tidak akan teragak-agak untuk mengarahkan pemandu kenderaan untuk berpatah balik sekiranya tidak menunjukkan surat pengesahan majikan atau tiada alasan yang munasabah seperti yang digariskan dalam prosedur operasi ‘standard’ (SOP) Pergerakan Kawalan Pergerakan (PKP).

Mengulas lawatannya ke tiga lokasi SJR pagi tadi, Lee memberitahu masih terdapat banyak kenderaan di atas jalan raya.

Sehubungan dengan itu, beliau menasihati orang ramai untuk tinggal di rumah dan tidak keluar sekiranya tiada keperluan.

“Kita sekarang dalam tempoh PKP, jadi kita harap semua pihak memberikan kerjasama erat mematuhi SOP ini, semoga kita berjaya menyekat penularan pandemik Covid-19 bagi tempoh ini,” jelasnya. — DayakDaily