‘Sejambak’ makanan segera menjadi hadiah graduan Swinburne University Sarawak

Chin dengan hadiah makanan segera yang dibungkus seperti sejambak bunga di majlis graduasinya.

KUCHING, April 18: Makanan segera yang dibungkuskan seperti sejambak bunga menjadi hadiah bagi seorang graduan Swinburne University Sarawak Campus selepas majlis graduasi ke-19 universiti tersebut di Kuching semalam.

Graduan terbabit, Chin Ka How, 26, yang menerima Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer di majlis graduasi itu berkata pada mulanya beliau agak terperanjat menerima hadiah istimewa itu yang diberikan teman wanitanya, Veni Tan, 26.

“Tetapi saya tetap gembira menerima hadiah makanan segera ini yang turut dibungkuskannya seperti sejambak bunga kerana ini adalah hadiah yang ikhlas dari teman wanita saya,” katanya.


Chin (tiga dari kanan) bersama keluarga dan teman wanitanya Tan (kiri).

Chin berkata beliau dan Tan mula menjalin hubungan sejak di bangku sekolah lagi dan setelah sekian lama teman wanitanya mengetahui yang beliau seorang yang kuat makan dan gemar kepada makanan segera.

“Jadi teman wanita saya tahu yang tiada gunanya memberikan hadiah sejambak bunga seperti orang lain di majlis graduasi ini yang tidak boleh saya makan,” katanya yang juga ditemani keluarganya di majlis itu.

Keseluruhannya, seramai 311 graduan di majlis graduasi itu dengan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg yang juga Pro-Canselor Swinburne University Sarawak Campus telah menyampaikan ijazah mereka. — DayakDaily