Segerakan pelaksanaan Igan, Matu New Township – Juanda

Dato Dr Juanda Jaya

KUCHING, 8 Jun: Timbalan Menteri di Pejabat Premier Sarawak Dato Dr Juanda Jaya memohon kepada kerajaan untuk menyegerakan pelaksanaan Matu New Township dan Igan New Township.

Menurut beliau yang juga Adun Jemoreng, projek tersebut telah dilancarkan pada 3 tahun yang lalu.

“Ini adalah kerana rakyat di Matu dan Igan tidak sabar untuk melihat rumah kedai ini didirikan.


“Ramai yang bertanya hendak membeli lot kedai, mereka mahu berniaga di kawasan ini.

“Ini bermaksud rakyat Matu dan Igan mahukan kemajuan di kawasan ini,” katanya dalam ucapan aluan di Majlis Penangguhan Pesta Matu 2022 di Pekan Matu hari ini.

Majlis telah dirasmikan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Tambah Juanda, pembangunan dari segi penyediaan infrastruktur adalah merupakan keperluan yang mendesak di kawasan Dun Jemoreng.

Katanya, dengan perancangan kerajaan melalui projek pembinaan Jambatan Batang Lassa, Jambatan Igan dan jambatan Paloh termasuk projek jalan penghubung, kawasan Igan dan Matu akan menjadi tumpuan utama.

“Kemudahan infrastruktur dan tempat berniaga merupakan keperluan mendesak bagi penduduk di daerah Matu dan Igan,” katanya. — DayakDaily