Seekor buaya sesat dalam parit berjaya ditangkap APM

Kelihatan seekor buaya di dalam sebuah parit.
Advertisement

Oleh Dean Adam

KUCHING, Dis 15: Seorang buruh binaan yang sedang bekerja terkejut dengan penemuan seekor buaya di dalam sebuah parit di Lorong Angrek 7, Taman Syn Syn, Matang, di sini hari ini.

Pegawai perhubungan awam Angkatan Pertahanan Awam (APM) negeri Sarawak, Hafizul Samah, berkata pihak APM menerima panggilan berhubung penemuan reptilia sepanjang kira-kira 2.7 meter itu pada pukul 9.19 pagi.

Advertisement

Sejurus menerima laporan kejadian, sepasukan empat anggota APM bergegas ke tempat kejadian untuk melakukan operasi menangkap buaya berkenaan.

Pasukan APM menunjukkan seekor buaya yang berjaya ditangkap.
Pekerja buruh binaan melihat seekor buaya yang berjaya ditangkap.

“Apabila tiba, pasukan APM mendapati masih terdapat seekor buaya di dalam sebuah parit di taman perumahan tersebut.

“Pasukan APM kemudian terus bertindak menangkap buaya yang dipercayai sesat itu dengan menggunakan kaedah menjerut dan mengikat buaya berkenaan,” katanya di sini hari ini.

Hafizul menambah, pasukan APM mengambil masa kira-kira 15 minit untuk menangkap buaya seberat 90 kilogram itu.

Pasukan APM berusaha menangkap seekor buaya.

Katanya, operasi menangkap reptilia tersebut berjalan lancar selepas buaya berkenaan tidak bertindak agresif.

“Operasi menangkap reptilia itu tamat sepenuhnya pada pukul 11.10 pagi sebelum membawa buaya tersebut ke Pusat Hidupan Liar Matang,” ujarnya. — DayakDaily

Advertisement