Sedar: Jangan pilih kasih dalam penguatkuasaan SOP

Datuk Othman Abdillah

KUCHING, 2 Mac: Parti Sedar Rakyat Sarawak mendesak pihak kerajaan supaya mengelak dari amalan pilih kasih dalam penguatkuasaan undang-undang berkaitan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan(PKP).

Menurut presidennya Datuk Othman Abdillah, sudah terlalu banyak kes di mana pihak atasan terlepas dari sebarang tindakan ataupun hanya dikenakan tindakan mirip “lepas tangan” apabila melanggar SOP secara terbuka.

“Tindakan undang-undang dua darjat bukan sahaja satu-satunya amalan salah guna kuasa, tetapi ia juga membawa kesan lebih buruk dan membuat rakyat rasa hilang hormat terhadap penguatkuasaan.


“Oleh itu, segala keputusan untuk menetapkan hukuman seberat manapun tidak akan mencegah salah laku selagi tiada kesaksamaan dalam penguatkuasaan,’ katanya dalam kenyataan hari ini,” katanya.

Berhubung hukuman denda kepada pelanggar SOP yang baru-baru ini dinaikkan kepada RM10,000 Othman berkata, ia bakal menambah beban kepada rakyat yang kebanyakannya dari golongan pendapatan rendah.

Katanya, perlu diingatkan bahawa rakyat sering keliru atau tidak ambil maklum dengan perubahan yang kerap ke atas peraturan-peraturan dan dengan itu mungkin tidak sengaja berlaku salah.

“Kebanyakan kajian-kajian keberkesanan hukuman untuk pencegahan salah laku undang-undang menunjukkan hukuman yang berat tidak berjaya mencapai matlamatnya,” ujar beliau.

Justeru beliau menyeru pihak kerajaan untuk menangguhkan perlaksanaan hukuman yang tinggi dan sebaliknya menambahbaik penguatkuasaan termasuk melaksanakan hukuman yang sedia ada secara saksama dengan tidak membezakan pangkat. – DayakDaily