LAWAS, 10 Ogos: Sebuah rumah di Kampung Banting, di sini musnah dalam kebakaran hari ini.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata kebakaran tersebut dilaporkan berlaku pada jam 7.22 pagi.
Katanya, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lawas dikerahkan ke lokasi kejadian.
“Setiba di lokasi kejadian, didapati berlaku kebakaran rumah dua tingkat jenis separuh kekal struktur batu dan simen telah musnah terbakar 100 peratus.
“Komander operasi melakukan size up dan pasukan pemadam melakukan pemadaman menggunakan sumber air dari Prime Mover serta sumber air pili bomba,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Jelasnya, semasa kebakaran berlaku terdapat lima penghuni rumah berada di rumah dan telah berjaya menyelamatkan diri.
“Manakala enam lagi penghuninya tidak berada di rumah.
“Setakat ini, kebakaran tidak melibatkan sebarang kecederaan dan kemalangan jiwa,” katanya.
Pasukan bomba kemudian bergerak pulang ke balai bomba selepas memastikan keadaan benar-benar selamat dan tiada punca api.
Operasi tamat sepenuhnya pada jam 10 pagi.
Punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan. — DayakDaily