Oleh Dean Adam
SARIKEI, Mac 24: Sebuah keluarga bukan sahaja kehilangan tempat tinggal, malah tiga motosikal milik mereka musnah terbakar dalam satu kejadian kebakaran di Jalan Nyalan di sini petang tadi.
Kejadian kira-kira pukul 4.20 petang itu mengakibatkan sebuah rumah dua tingkat jenis tidak kekal dan tiga motosikal musnah terbakar 100 peratus.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 4.25 petang.
Jelasnya, sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sarikei kemudian bergegas ke tempat kejadian untuk melakukan operasi memadam kebakaran.
“Apabila tiba, pasukan bomba mendapati api sedang marak membakar kediaman serta motosikal di situ.
“Pasukan bomba segera melakukan operasi memadam bagi memastikan keadaan dekat terkawal,” katanya di sini hari ini.
Jurucakap sama menambah, kejadian berkenaan tidak melibatkan sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa.
Ujarnya, punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam proses siasatan.
“Operasi ditamatkan sepenuhnya pada pukul 6.20 petang,” katanya. — DayakDaily