Sebuah kilang kayu musnah terbakar

Anggota bomba berusaha memadam kebakaran sebuah kilang kayu.

SIBU, Sept 11: Sebuah kilang kayu di Batu 3 1/2 di sini musnah terbakar dalam satu kebakaran awal pagi tadi.

Kejadian kira-kira pukul 2.30 pagi itu mengakibatkan kilang kayu berkenaan musnah 100 peratus.

Pegawai Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sibu Jankey Jikat berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran itu pada pukul 2.33 pagi.

Menurutnya, sejurus kemudian laporan berhubung kejadian itu, 23 anggota bomba dari BBP Sibu dan Sungai Merah dikerahkan ke lokasi kejadian untuk melakukan kerja-kerja memadam kebakaran.

“Sebaik tiba, pasukan bomba mendapati api sedang marak membakar kilang berkenaan.

“Api marak dengan cepat disebabkan struktur bangunan kilang itu diperbuat daripada bahan yang mudah terbakar,” katanya di sini hari.

Jankey menambah, pasukan bomba kemudian bertindak membuat pemadaman meskipun kawasan tersebut tiada pili bomba.

Katanya, cabaran lain yang dihadapi bomba ialah jalan utama masuk ke kilang kayu itu adalah lebih kurang 1,000 kaki dengan keadaan jalan yang sempit.

“Pasukan bomba terpaksa menggunakan sumber air yang diperoleh dari air parit berdekatan menggunakan dua unit pam angkut pemadaman di sebelah kiri bangunan.

“Manakala ‘relay pumping’ dilakukan dari ‘water tanker’ ke FRT Sibu 2 dan ke FRT Sibu 1 dengan jarak 800 kaki,” katanya lagi.

Jankey menambah, kebakaran terkawal pada pukul 4 pagi dan punca kebakaran serta jumlah kerugian masih dalam siasatan. — DayakDaily

Share this article!