Sebuah keluarga cemas, dapur mereka terbakar

Anggota bomba sedang memadam kebakaran.
Advertisement

KUCHING, Julai 6: Sebuah keluarga di Taman Sri Wangi di sini cemas apabila dapur rumah mereka terbakar dalam satu kejadian petang tadi.

Bagaimanapun dalam kejadian kira-kira pukul 4.09 petang itu tiada laporan kecederaan dilaporkan berlaku.

Penolong Pengarah Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, Tiong Ling Hii berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 4.10 petang.

Advertisement

Katanya, sejurus menerima laporan kejadian, sepasukan anggota bomba kemudian bergegas ke tempat kejadian untuk melakukan kerja-kerja memadam kebakaran.

“Apabila tiba, pasukan bomba mendapati kebakaran itu hanya melibatkan kawasan luar rumah dan melibatkan gas dapur memasak.

“Pemeriksaan mendapati bahagian dapur rumah itu telah diubahsuai dan dijadikan tempat memasak di luar rumah,” katanya di sini hari ini.

Tiong menambah, anggota bomba yang berada di lokasi telah bertindak memadamkan kebakaran tersebut menggunakan satu aliran salur bantu mula dari jentera sehingga api padam sepenuhnya.

Katanya, punca kebakaran dan jumlah kerugian akibat kejadian itu masih dalam proses siasatan.

“Operasi memadam tamat sepenuhnya apabila mendapati keadaan adalah terkawal,” ujarnya. — DayakDaily

Advertisement