Sebuah kantin, dua kenderaan musnah dalam kebakaran

Kelihatan kesan kebakaran melibatkan sebuah kantin.

Oleh Dean Adam

BINTULU, Mei 8: Sebuah kantin dan dua buah kenderaan musnah dalam satu kebakaran di Ladang Palm Head Holding, Sebumbu di sini petang tadi.

Bagaimanapun dalam kejadian kira-kira pukul 4.10 petang itu, tiada sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 4.15 petang.

Jelasnya, sepasukan anggota bomba dari BBP Bintulu kemudian bergegas ke tempat kejadian untuk melakukan operasi memadam.

Kelihatan salah satu kenderaan yang turut musnah terbakar.

“Apabila tiba di lokasi kejadian, ketua operasi memaklumkan kebakaran melibatkan itu sebuah kantin pekerja jenis separuh kekal dua tingkat telah musnah 100 peratus.

“Kebakaran tersebut juga melibatkan dua buah kenderaan iaitu masing-masing sebuah kereta Proton Saga dan Toyota Hilux,” katanya di sini hari ini.

Jurucakap sama menambah, operasi pemadaman terus dilakukan sehingga api dapat dikawal sepenuhnya.

“Operasi ditamatkan pada pukul 7.25 malam,” katanya. — DayakDaily