Sebanyak 17 jerat buaya dipasang di Sungai Trombol

Pasukan pemburu buaya sedang memasang jerat.

Follow and subscribe to DayakDaily on Telegram for faster news updates.


KUCHING, 24 Mei: Sebanyak 17 jerat buaya dipasang di sekitar Sungai Trombol, Telaga Air oleh pasukan pemburu buaya hari ini.

Difahamkan jerat tersebut dipasang untuk memburu buaya yang dipercayai telah menyambar seorang kanak-kanak lelaki berusia 7 tahun di Sungai Nyabut, Telaga Air pada 21 Mei lalu.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata pihaknya mengiringi pasukan pemburu buaya tersebut bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dari jam 11.55 pagi tadi.


“Anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Petra Jaya dan Batu Lintang mengiringi pasukan pemburu buaya memasang sebanyak 17 umpan dan jerat buaya di sekitar kawasan Sungai Trombol,” katanya.

Katanya pemasangan jerat tersebut juga usaha pasukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa Mohammad Adami Moktar, 7 tahun, yang dilaporkan telah disambar buaya ketika mengambil air di sungai tersebut.

Katanya, hari ini merupakan hari keempat operasi SAR tersebut.

Bagaimanapun, sehingga lewat petang tadi, mangsa masih belum berjaya ditemui oleh pasukan operasi SAR. — DayakDaily