SEB rugi lebih RM1 juta gara-gara lombong Bitcoin di Jalan Batu Kawa

Polis dan SEB menjalankan siasatan di lokasi serbuan.

KUCHING, 9 Ogos: Sebuah kedai yang dijadikan pusat melombong Bitcoin di Jalan Batu Kawa di sini diserbu polis, semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Padawan DSP Lim Jaw Shyong berkata, serbuan dilakukan sekitar jam 1 petang hasil daripada maklumat dan risikan Sarawak Energy Berhad (SEB) dan polis.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati terdapat beberapa unit mesin Bitcoin masih dalam keadaan beroperasi.

“Sebanyak 190 unit mesin mining serta beberapa barangan komputer termasuk tetikus, monitor, seunit tp-link, dua unit penyejuk dan seunit rooter turut dirampas.

“Berdasarkan semakan awal pihak SEB, aktiviti ini dipercayai telah beroperasi selama lebih kurang 36 bulan dengan anggaran kerugian sekitar RM1,825,000 secara keseluruhan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, nilai rampasan barangan mesin bitcoin kes dianggarkan berjumlah RM645,000.

Tegas beliau, usaha mengesan pemilik premis tersebut sedang dijalankan bagi melengkapkan siasatan kes.

Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan. ā€” DayakDaily