Sarikei memerlukan Dermaga Komersial Baharu, kata Adun Repok

Huang berucap di Persidangan Dewan Undangan Negeri.

KUCHING, 22 Nov: Sarikei memerlukan satu Dermaga Komersial Baharu bagi kegunaan trak dan lori, kata Adun Repok Dato Sri Huang Tiong Sii.

Menurut beliau, dermaga komersial asal di Sungai Nyelong sudah usang dan tidak selamat untuk digunakan lagi.

“Lokasi geografi Sarikei agak strategik kerana ia berdekatan dengan Tanjung Manis dan dikeliling oleh Sungai Rajang, Sungai Sarikei dan Sungai Nyelong.


“Dermaga komersial merupakan komponen penting dalam rangkaian dagangan dan pengangkutan air di Sarikei,” kata Huang.

Beliau berkata demikian di Persidangan Dewan Undangan Negeri bagi menyokong penuh Supply (2024) Bill Dan Usul Untuk Merujuk Resolusi Anggaran Perbelanjaan Pembangunan Bagi Tahun 2024 hari ini.

Tambah Huang, dermaga mempunyai fungsi yang penting untuk menjana aktiviti ekonomi Sarikei.

Katanya, tanpa dermaga komersial yang sempurna dan baik, aktiviti ekonomi Sarikei akan terjejas.

“Maka, bagi memastikan kelancaran aktiviti ekonomi di Sarikei yang berterusan, saya memohon kepada Kerajaan Sarawak untuk membuat pertimbangan yang sewajarnya untuk membina sebuah dermaga komersial yang baru di lokasi yang sesuai di sepanjang Sungai Nyelong,” ujar beliau. — DayakDaily