KUCHING, 28 Ogos: Kerajaan Sarawak bersetuju menubuhkan Lembaga Industri Nipah Dan Sagu (Linas) yang berfungsi melaksanakan pembangunan industri tersebut.
Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, Linas juga akan melihat dari sudut kualiti, pengeluaran dan teknologi berkaitan nipah dan sagu.
“Ini akan memberi bantuan kepada petani-petani kita di dalam industri sagu dan nipah di mana kita akan menggunakan cara-cara baharu,” katanya.
Beliau berkata demikian pada perasmian Pusat Kecemerlangan Teknikal Sarawak (Centexs) Kampus Mukah hari ini.
Menurut Abang Johari, satu eksperimen sedang dilakukan di Mukah untuk menghasilkan gas untuk kegunaan memasak dari sisa-sisa sagu.
Katanya, banyak bahan-bahan lain termasuk sisa-sisa air dari sagu kini sedang dalam eksperimen dan ia dapat dibangunkan dengan kewujudan Linas.
“Nipah kita banyak, dari Lawas sampai ke Kuching dan Centexs ada makmal di Kuching.
“Apabila teknologi ini dapat diguna pakai, maka eksport kita akan meningkat. Kita dapat mewujudkan peluang pekerjaan yang memberi gaji lebih tinggi,” kata Abang Johari. — DayakDaily