Sarawak tubuh Pasukan Pengawal Pantai kawal keselamatan, sumber asli dan nelayan tempatan

Datuk Amar Douglas Uggah Embas

Oleh Chris Bishop

KUCHING, Nov 13: Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah berkata kerajaan negeri sedang menubuhkan pasukan Pengawal Pantai Sarawak.

Katanya, ia bagi memantapkan usaha kerajaan dalam mengawal keselamatan serta menjaga sumber asli dan nelayan tempatan di sepanjang 1,200 km perairan Sarawak.


“Pasukan Pengawal Pantai Sarawak akan membantu agensi-agensi penguatkuasa yang lain dalam usaha melindungi kepentingan negara dalam perairan Sarawak daripada dicerobohi oleh pihak negara asing serta memelihara kepentingan maritim negeri,” katanya.

Uggah berkata demikian pada ucapan penggulungan Kementerian Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah di persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.

Tambah Uggah, keselamatan maritim di perairan Sarawak turut diberi perhatian memandangkan wujud insiden pihak negara jiran menceroboh perairan Sarawak.

Menurut beliau, penceroboh ini telah menghalang nelayan-nelayan tempatan menjalankan aktiviti perikanan di perairan Sarawak yang didakwa milik mereka.

“Sebagai permulaan, sebuah pangkalan Pengawal Pantai Sarawak di kawasan Bintulu/Samalaju akan ditubuhkan.

“Ia adalah salah satu komponen penting dalam pelan induk penubuhan entiti baru ini da penubuhan pangkalan ini telah diberi keutamaan tinggi dan ia akan dilaksananakan dalam fasa pertama,” ujar Uggah.

Di samping itu, tambah Uggah, aktiviti-aktiviti oleh nelayan asing dipantau rapi dengan kerjasama dari Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan Tentera Laut Diraja Malaysia. — DayakDaily