Sarawak tuan rumah Sambutan Minggu Perpaduan 2023

Fatimah (lima kanan) selesai perbincangan berhubung Sambutan Minggu Perpaduan Peringkat Kebangsaan.

KUCHING, 4 April: Sarawak dipilih menjadi tuan rumah bagi Sambutan Minggu Perpaduan Peringkat Kebangsaan yang bakal berlangsung pada 10 April ini, kata Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Dato Sri Fatimah Abdullah.

Menurut laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (Ukas), program tersebut bakal dirasmikan oleh Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Jelasnya, program tersebut adalah antara program terbesar yang akan dikendalikan pada tahun ini.


Dalam pada itu, beliau menzahirkan penghargaan kepada Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang kerana memilih Sarawak sebagai tuan rumah bagi sambutan itu.

“Di negeri ini, elemen yang sentiasa dipupuk adalah tidak terhad kepada perpaduan dari segi kaum, agama, bangsa dan budaya sahaja bahkan juga perpaduan antara generasi seperti warga emas, belia dan kanak-kanak,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas mengadakan perbincangan bersama Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Negeri Sarawak (JPNIN) di pejabatnya di Bangunan Baitulmakmur II, Kuching hari ini.

Tambah Fatimah, kementeriannya bersama JPNIN komited dalam memastikan pembangunan di Sarawak terus berjalan lancar dari segi kesejahteraan dan keharmonian dalam komuniti.

Manakala katanya, mesyuarat bagi perancangan Minggu Perpaduan secara lebih terperinci akan berlangsung pada 6 Mei 2023 yang akan dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara bersama Setiausaha Kerajaan Sarawak. — DayakDaily