Sarawak terokai ternakan udang kara air tawar

Dr Rundi (tengah) melepaskan udang kara sebagai simbolik Pelancaran Program Penternakan Udang Kara.

KUCHING, 8 Mac: Sarawak kini meneroka ternakan udang kara menerusi kerjasama di antara Jabatan Pertanian Sarawak (JPS) dan sebuah syarikat swasta, Thian Yen Aquaculture Sdn Bhd.

Menteri Pemodenan Pertanian Dan Pembangunan Wilayah (MANRED) Dato Sri Dr Stephen Rundi berkata, kerjasama itu melibatkan “License Agreement” bagi tempoh 10 tahun di kawasan seluas 2.1 hektar di Tarat, Serian.

“Setelah tamat tempoh 10 tahun nanti, kita berharap syarikat tersebut dapat membawa ramai lagi pengusaha lain untuk sama-sama terlibat di dalam industri ternakan udang kara,” katanya.


Beliau berkata demikian pada sidang media selesai Majlis Pelancaran Program Penternakan Udang Kara di sebuah hotel di sini, hari ini.

Tambah Dr Rundi, syarikat Thian Yen Aquaculture Sdn Bhd komited dan memiliki kepakaran di dalam ternakan udang kara.

Selain itu katanya, syarikat juga memiliki hubungan yang baik di pasaran luar khususnya Korea, China dan Hong Kong.

Dalam pada itu, Dr Rundi menggesa semua pemain industri untuk membangunkan industri mereka ke peringkat tertinggi.

“Ini bermaksud, industri mesti dibangunkan dari A sehingga ke Z dan melibatkan aktiviti hiliran dan huluan.

“Jika hasil keluaran kita sederhana ia mungkin boleh menampung permintaan tempatan tetapi jika banyak, ia boleh dieksport ke luar,” katanya.

Pada majlis itu, Dr Rundi menerima Buku Manual Prosedur Operasi Standard (SOP) Ternakan Udang Kara daripada Pengarah Jabatan Pertanian Sarawak (JPS) Dr Alvin Chai Lian Kuet.

Hadir sama Timbalan Menteri MANRED Martin Ben. — DayakDaily