Sarawak sudi menjadi tuan rumah Sukma 2024 — Premier Sarawak

Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg

KUCHING, 19 Feb: Sarawak sudah pasti menjadi tuan rumah Sukan Malaysia (Sukma) pada tahun 2024, kata Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Katanya, perkara tersebut telah dibangkitkan Menteri Belia, Sukan Dan Pembangunan Usahawan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah kepada beliau.

“Nampaknya tiada negeri yang mahu menjadi tuan rumah, saya tidak tahu kenapa.


“Akhirnya Menteri (Abdul Karim) bertanya bolehkah Sarawak menjadi tuan rumah sebab bukan giliran kita, ia adalah giliran negeri lain.

“Saya cakap dengan Abdul Karim, bila-bila masa Sarawak boleh menjadi tuan rumah Sukma.

Abang Johari berkata demikian di Majlis Penutupan Sukan Antara Yayasan Negeri Se-Malaysia (Pesaya) Kali Ke-14 Sarawak 2023 malam ini.

Pada temasya kali ini, Yayasan Sarawak telah dinobatkan sebagai juara keseluruhan.

Yayasan Sarawak memperolehi 12 pingat emas, 9 pingat perak dan 3 pingat gangsa yang telah menyumbangkan sejumlah 95 mata. — DayakDaily